Hari ini aku ingin menitipkan selembaran nota buat sahabatku. Aku ingin sampaikan luahan hatiku berkenaan dunia yang sedang aku berdiri ini. Berkongsi perasaanku, tentang hakikat kewujudan aku yang sementara ini. Lihatlah sahabatku, dunia ini melalui pancainderaku. Lihatlah, rasailah.
Sahabatku, pertama sekali aku ingin mengucapkan terima kasih kepada Penciptaku kerana telah memilih aku untuk dijelmakan ke dunia ini. Setulus terima kasih kerana aku telah dilahirkan sebagai manusia, malah manusia yang sempurna fizikal dan perasaan. Terima kasih Tuhanku. Terima kasih.
Sahabatku, dalam samar- samar perjalananku ini, akhirnya aku sampai juga ke destinasi hari ini. Tidak mudah untuk aku melaluinya. Alam semesta bagaikan sentiasa ingin menduga kesabaran dan kewarasan aku. Rintangan demi rintangan. Ada yang aku terkandas didalamnya, namun aku nekad bangun semula sesudah itu.
Dengarlah sahabatku, bagiku hidup ini tidak lebih dan tidak kurang seperti satu gelanggang permainan yang panjang durasi tamatnya. Permainan ini akan berakhir, tetapi bagaimana ia akan berakhir adalah terserah sepenuhnya kepada kita. Kita adalah pemainnya. Kita lah penentunya. Kendalikan permainan ini agar kita menjadi pemenang pada kesudahannya.
Lihatlah sahabatku, dunia aku dan kamu adalah sama. Dunia kita dan mereka juga sama. Semua kita berpijak dibumi yang serupa. Namun ada yang terpedaya dengan dunia, sehingga mereka karam lalu kelemasan. Sebaliknya ada pula yang terbang tinggi ke puncak impian, sehingga merdeka jiwanya daripada segala kesulitan. Aku ingin kamu dan aku memiliki jiwa yang merdeka itu.
Rasailah sahabatku, dunia sedang berbicara dari hatinya ke hati ku. Katanya, "Aku telah wujud berjuta abad sebelum kamu, telah menjadi saksi kepada ramai manusia yang diduga hidupnya. Mereka kemudiannya telah menjadi manusia yang hebat- hebat. Fahamlah aku kini, dugaan itu lah yang menjadikan mereka begitu. Aku pasti, kamu pula selepas ini !". Lalu aku pun mengiyakan.
Sahabatku, aku berjanji, jika aku kecundang, aku akan memilih untuk kecundang dengan bijaksana. Aku akan menangis buat seketika, tetapi sesudah itu aku akan bingkas bangun, menyelusuri semula denai kehidupan ini dengan penuh keghairahan seolah- olah aku tidak pernah kecundang sebelum itu. Ya, itu lah yang akan aku lakukan. Itu lah yang akan kita lakukan sahabatku.
Selamat datang dunia.....aku kini tidak lagi seperti dulu.
Selamat datang dunia.....aku kini tidak lagi seperti dulu.
Oleh : aku